DENGAN wajah tampan, perwatakan menarik, ketinggian sehingga 1.82 meter, sering berpakaian kemas, bersikap `gentleman' serta pandai memujuk, Lee Chow Meng seharusnya boleh hidup mewah sama ada menjadi model, pelakon, mengahwini wanita kaya atau anak orang kaya.
Namun, dia memilih haluan berbeza. Haluan yang tidak mungkin sanggup dilakukan oleh manusia normal. Haluan yang menjadikannya dicemuh masyarakat dan memastikannya mati dalam keadaan aib. Haluan itu juga menyebabkan namanya terus terpahat sebagai seorang daripada perogol bersiri paling kejam yang pernah lahir di negara ini.
Jatuh Cinta
Pada tahun 1975, Lee telah jatuh cinta dengan sahabat penanya, seorang gadis manis berbangsa cina yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Kecantikan gadis itu telah berjaya mencuri hatinya. Lee yang bekerja di Temerloh selalu berutus surat dengan kekasih hatinya, dan kadang-kala mereka pergi bercuti bersama dan bertemu di Kuala Lumpur. Akhirnya kekasihnya mempelawa Lee untuk tinggal bersamanya di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Tetapi hubungan mereka itu mempunyai pasang-surutnya. Alam percintaan mereka sering diduga dan pertengkaran sering berlaku. Kerana sikap nakalnya, kekasih hatinya tidak lagi mampu bertahan dan bertindak memutuskan hubungan yang mereka bina bertahun lamanya. Kekasihnya telah tawar hati untuk kembali kepada Lee, walaupun Lee sering memujuk dan merayu masih mencintai wanita itu. Sikap Lee yang suka perpoya-poya di Thailand menjadi punca segalanya.
Bermulanya Dendam Kesumat
Bertitik tolak dari insiden ini, Lee berpatah hati dan mula menanam sikap bencinya pada wanita. Lee bertekad untuk menggoda mana-mana wanita yang mempunyai iras kekasihnya untuk membalas dendam. Bukan niat untuk bercinta, tetapi mempergunakan mereka untuk melampiaskan nafsunya sahaja.
Tiada kemaafan sanggup diberikan lebih 15 wanita yang menjadi mangsa nafsu serakahnya manakala keampunan tidak mungkin diberikan oleh keluarga mangsa pembunuhannya.
Jika bukan disebabkan sikap tamaknya yang mengugut untuk mengedarkan gambar bogel seorang wanita jika enggan menyerahkan wang tunai RM10,000, mungkin lelaki ini terus bermaharajalela menambah bilangan mangsanya.
Lelaki yang digelar perogol bersiri itu ditangkap di Bercham, Ipoh, pada 1 September 1997 sekali gus menamatkan pemburuan yang dilakukan polis terhadapnya.
Lee yang berasal dari Mentakab, Pahang, dilahirkan pada 9 Februari 1964 dan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan akibat penyakit radang paru-paru kesan daripada virus HIV yang menular dalam tubuhnya ketika berusia 37 tahun di Hospital Taiping (HT), Perak pada 11 April 2001.
Sepuluh tahun lalu, Lee menjadi buruan pihak berkuasa sehingga ditawarkan ganjaran RM50,000 kepada orang ramai yang dapat memberi maklumat sehingga dia berjaya ditangkap manakala lebih 40,000 poster lakaran wajahnya ditampal di balai polis, kompleks beli belah dan tempat tumpuan awam seluruh negara termasuk di sempadan Malaysia-Thailand.
Dalam tempoh setahun iaitu sepanjang 1996, Lee dikatakan merogol lebih 12 wanita dan ada laporan sehingga 18 wanita dengan semua mangsa disamun dan ada antaranya menjadi mayat serta dibuang pada beberapa lokasi tersorok.
Modus operandinya mudah iaitu menerusi iklan akhbar, sama ada dia sendiri membuat iklan berpura-pura menawarkan pekerjaan kepada wanita atau menelefon mana-mana iklan kerja kosong yang ditawarkan oleh wanita atau syarikat dimiliki wanita.
Apabila `temu janji' dapat dibuat, Lee akan meminta mangsa bertemunya di tempat awam yang dipersetujui, kebiasaannya di restoran makanan segera. Di situ, dia akan membeli air dan memasukkan sejenis dadah di dalamnya sebelum mencadangkan mereka ke tempat lain sama ada dengan keretanya atau kereta mangsa.
Dadah itu dikatakan bertindak pantas membuatkan mangsa menjadi khayal dan menuruti katanya tetapi tidak menyebabkan mangsa pengsan dengan cepat. Ini membolehkan Lee memaksa mangsa menandatangani slip pembelian kad kredit dan memberitahu nombor pin mesin juruwang automatik (ATM), menyamun wang tunai dan barang kemas selain meratah tubuh mangsa sepuas-puasnya.
Jika permintaannya tidak dipenuhi, Lee akan bertindak ganas menyerang dan menamatkan riwayat hidup mangsa yang sebahagian besarnya adalah wanita bekerjaya dan profesional selain pelajar dan seorang wanita dari Taiwan.
Sepanjang Lee `mengganas' dari Januari 1996 sehingga Ogos 2007 sebahagian besarnya di sekitar Lembah Klang, dia menggunakan pelbagai nama untuk mengelirukan mangsa seperti Alex, Jackson, Khoo, S K Lim dan Tan.
Dia turut dikaitkan dengan kes kehilangan lima wanita iaitu Yong Siew Ling, 45; Lim Phaik Lian, 33; Tan Poh Peng, 29; Lim Yee Lengg @ Elane E Leng, 26, dan Jenny Cheng Chen-ni, 23.
Rangka mayat Siew Ling yang juga seorang akauntan, ditemui di satu kawasan berhampiran Empangan Sungai Tua, di Kilometer 9, Jalan Sungai Tua, Hulu Yam dekat Batu Caves, Selangor manakala mayat pengusaha salun kecantikan, Phaik Lian, yang sudah reput ditemui di pangkal pokok kelapa sawit ditindih sebatang pokok reput dan ditutup dengan daun di Jalan Matang, dekat Taiping.
Dua mayat reput yang ditemui dengan kepala diikat pita pelekat manakala sebahagian tubuh tertimbus dalam longgokan batu dan pasir di satu kawasan kuari di Kilometer 48 Jalan Ipoh-Tapah berhampiran Kampar, dikenal pasti sebagai ejen insurans, Yee Leng dan Penyelia Akaun, Poh Peng. Seorang lagi mangsa iaitu Jenny tidak ditemui sehingga sekarang.
Lee berjaya ditangkap susulan daripada laporan polis yang dibuat seorang wanita di Kluang, Johor, yang mendakwa menerima ugutan pada 28 Ogos 2007 supaya menyerahkan wang tunai RM10,000 jika tidak mahu gambar bogelnya diedarkan.
Anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Daerah Kluang ketika itu, Koperal Chung Yaw Kai yang ditemani suami wanita itu mengekori mangsa yang memandu kereta seorang diri untuk berjumpa Lee di Bercham, Ipoh, kira-kira jam 12.30 malam pada 1 September 2007.
Sepandai Tupai Melompat, Akhirnya Jatuh Jua
Sikap buas Lee sampai ke penghujungnya hasil serbuan di situ yang dibantu anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Dia cedera di paha kanan kerana terkena tembakan polis ketika cuba melarikan diri.
Pada 3 September 1997, Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan polis menahan reman Lee selama 14 hari untuk menjalankan siasatan dan disambung beberapa kali iaitu pada 13 Oktober, 27 Oktober dan 23 November sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada 5 Disember tahun yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pembunuhan dengan niat menyebabkan kematian Phaik Lian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 9.30 malam 29 Januari 1997 dan jam 1.30 pagi 30 Januari 1997 di sebuah kebun kelapa sawit di Kilometer 11.6 Jalan Matang, Kuala Sepetang, dekat Taiping.
Pada 22 Februari 1999, Hakim Mahkamah Tinggi Taiping, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin menjatuhi hukuman penjara 15 tahun terhadap Lee selepas dia mengaku salah terhadap tuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 (1) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Nasib seperti menyebelahi Lee apabila dia hanya didakwa dengan satu tuduhan itu saja dan terselamat pula daripada tali gantung seolah-olah kes lain yang dikaitkan dengannya sebelum itu sukar untuk dibuktikan. Begitupun, takdir menentukan bahawa dia tetap menerima padah akibat perbuatan dilakukannya dengan mati ketika dipenjarakan.
Dia yang disahkan positif HIV, jatuh sakit dan dimasukkan ke HT pada 30 Mac 2001 dan selepas 12 hari menerima rawatan, Lee akhirnya menemui ajal pada 11 April tahun yang sama. Hasil bedah siasat mendapati kematiannya disebabkan jangkitan retrovirus iaitu radang paru-paru.
Ketiadaan Lee secara tidak langsung menyelamatkan masyarakat negara ini daripada dibayangi kehadiran perogol kejam. Bagaimanapun, trauma yang dihadapi mangsa rogol dan keluarga mangsa bunuh akibat perbuatan Lee mungkin sukar diubati sehingga sekarang.
Sehingga di hari kematiannya, Lee memang berminat dan sentiasa memikirkan tentang s*ks. Permintaan terakhirnya Lee meminta beliau disemadikan dengan dua naskah majalah s*ks kepunyaannya. Permintaannya itu dipenuhi oleh pihak penjara. - mymetro
0 Response to "Mengerikan : Perogol Bersiri Sukakan S*ks Hingga Nafas Terakhir"
Post a Comment