Sibuk Mencari Rezeki, Anak Lebih Sayang Amah


Kuala Lumpur: Laporan Tekad Integriti 2009-2013 yang mengandungi butiran terperinci kemajuan Pelan Integriti Nasional (PIN) sejak lima tahun lalu mendapati ada anak lebih rapat dengan pembantu rumah berbanding ibu bapa mereka.
Faktor itu menyebabkan perhatian terhadap anak terabai kerana ibu bapa seolah-olah menyerahkan tanggungjawab mendidik dan mencorakkan masa depan zuriat mereka kepada pihak ketiga.
Selain itu, ada ibu bapa tidak mengambil berat kebajikan anak mereka, terutama berkaitan persekolahan kerana sibuk mencari rezeki sedangkan mereka memerlukan kasih sayang dan perhatian sepenuhnya.
Laporan Tekad Integriti 2009-2013 dibentang dalam mesyuarat Kabinet semalam selepas diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan di Institut Integriti (IIM), di sini kelmarin.
Pada masa sama, laporan itu mendedahkan ada ibu bapa kurang memberi didikan agama dan moral, menyebabkan anak berani melakukan kesalahan tanpa ditegur dan dimarahi.
Akibatnya, mereka melepaskan tekanan di sekolah seperti merosakkan harta benda, melanggar peraturan sekolah, bergaduh dan ponteng.
Laporan turut mendedahkan bilangan pelajar yang terlalu ramai dalam kelas menyukarkan guru memantau perlakuan mereka.
Purata pelajar bagi setiap kelas di negara kita mencapai 35 orang, namun ada kelas mencecah sehingga 45 orang yang menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Guru tidak mempunyai masa secukupnya untuk memberi tumpuan dan bimbingan kepada setiap pelajar berikutan jumlah mereka yang ramai. -Berita Harian

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Sibuk Mencari Rezeki, Anak Lebih Sayang Amah "

Post a Comment